Wednesday, February 17, 2016

Peranan suami itu penting.


DITANYA sama ada mahu tinggal di rumah mertua atau tidak, majoriti wanita menjawab tidak. Sama ada ia fakta atau pun telahan, apa yang pasti jika tinggal di rumah sesiapa pun yang bukan rumah sendiri pasti menimbulkan kejanggalan, hatta sedikit.

Jangan kata rumah mertua, balik kampung ibu bapa sendiri pun kadang kala kita boleh bermasam muka dengan adik-beradik. Inikan pula dengan orang lain yang bukan darah daging sendiri yang kita tidak tahu pun sikap dan perangainya. Justeru, apa harus dilakukan? Pokok pangkalnya amalan dan toleransi.

Rata-rata wanita berpendapat jika mahu tinggal dengan mertua amalan toleransi itu penting. Peranan suami juga harus signifikan dengan keperluan antara isteri dan ibu bapa sendiri. Ada wanita yang gemarkan kehidupan sosialisasi dalam keluarga. Biar ramai janji riuh dengan gelak tawa dan suka duka penghuninya.

Ada wanita mahukan lebih privasi dalam rumah tangga. Mereka tidak mahu terkongkong dan tidak mahu menghadapi keterbatasan di rumah sendiri. Dan sudah tentu apabila diaju soalan sama ada mahu tinggal di rumah mertua atau tidak, wanita kategori ini tidak bersetuju.

Aku ada bertanya kawan kawan yang sebumbung dengan mertua rata-rata tinjauan di laman sosial juga mengakui lebih banyak duka berbanding suka. Namun, dalam semuanya masih wujud kategori wanita yang berbahagia apabila tinggal bersama-sama keluarga mertua.

Majoritinya mengakui, yang menjadi masalah dalam perhubungan adalah antara ibu mertua dan wanita sahaja. Antara bapa mertua dan adik-beradik jarang ditimbulkan. Ini kerana, mungkin juga disebabkan faktor ibu yang mahukan layanan lebih daripada anak lelaki sendiri. Malah dalam agama pun, suami dituntut melebihkan ibu berbanding isteri.

Nilai positif

Jika ditimbal semula, kesudian ibu bapa mertua menerima tetamu dalam rumahnya wajar dipuji. Bukan mudah seseorang mahu menerima seseorang yang lain di dalam rumah tangga mereka apatah lagi tamu asing. Beringatlah bahawa dengan mengorbankan privasi anda bersama suami, ibu mertua juga mengorbankan privasinya bersama ahli keluarga lain sebaik membenarkan anda tinggal di rumahnya.

Dari sudut pandang yang positif, tinggal di rumah mertua memberikan penjimatan sewa rumah, makan minum atau belanja dapur dan bil-bil tertentu seperti air dan elektrik. Ini kerana, ahli keluarga mungkin boleh berkongsi tanggungjawab melangsaikan perbelanjaan tersebut.

Pasangan yang baik adalah pasangan yang mengambil kesempatan menyusun strategi kewangan agar suatu masa mereka dapat membeli rumah sendiri hasil simpanan semasa tinggal dengan mertua. Perkara ini banyak terjadi dalam kalangan rakan-rakan penulis yang tinggal bersama keluarga mertua.

Mereka bukan sahaja hidup harmoni  malah kewangan mereka jarang ditimpa masalah. Bukan sahaja sewa rumah malah kos upah mengasuh anak-anak juga boleh dijimatkan atau disalurkan kepada ibu mentua yang sudi membantu.

Kesimpulannya, amalan merendahkan ego dan bertoleransi amat penting apabila tinggal dengan keluarga mertua. Janganlah segala perbelanjaan dibebankan ke atas bahu orang tua sedangkan anda juga bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
Walaupun tidak disuruh atau tidak ditetapkan garis panduan mengenai peranan anda di rumah tersebut, andalah yang harus bijak memainkan peranan sendiri.
 

Nilai negatif

Bermasam muka, salah faham, perbalahan dan umpat keji mungkin boleh berlaku dalam hubungan kekeluargaan yang berkongsi di bawah satu bumbung. Apatah lagi perhubungan antara mertua dan menantu.

Ada yang berkongsi cerita bahawa ibu mentuanya bersikap pilih kasih meski pun dia mempamerkan sikap yang baik dan ringan tulang. Dalam hal ini dia berpendapat tinggal di rumah mertua lebih banyak dukanya berbanding suka. Sementelah lagi, persaingan antara dirinya dan menantu-menantu yang lain membuatkan dia sering rasa terpencil dan diketepikan.

Faktor suami yang bergantung dengan kedua-dua ibu bapa mertua juga menyebabkan sebagai isteri berasa rendah diri dan tidak mempunyai hak langsung untuk bersuara. Malah jika seseorang itu  tidak bekerja. Dalam situasinya tidak hairan jika dia dipandang sepi keluarga.

Walaupun berusaha keras mempamerkan sikap rajin, membantu dari segi tenaga di dalam rumah tangga, baktinya tetap tidak mampu menandingi kuasa wang yang ditaburi menantu dan anak lain dalam rumah tersebut. Salah siapa? Tidak perlu menuding jari.

Semoga perkongsian kali ini membuka mata anda untuk membuat pilihan. Sama ada anda menantu atau ibu mertua, berlapang dadalah dan buat penilaian.Andai kita memandang kesempurnaan, takkan terlihat kehidupan. Kerana hidup sesungguhnya mempunyai warna-warni dan cacat-celanya yang tersendiri. Wallaua’lam



wahai mak mertua aku,aku tak pandai dalam semua perkara,jadi ajarlah aku...
aku budak baru belajar kalau salah tolong tunjukkan...begitu juga pada mak aku ;)

mak mertua ajar uli pau
*pau kaya
*pau kelapa

mak mertua ajar buat karipap,ishhh
tak pandai aku nak klip klip

projek kerepek pisang
aku beli pisang kek tanjong ipoh N9




No comments:

Post a Comment